Friday, June 26, 2009

Ke Kelas ke tidak...

Sepatutnya minggu ni tak de kelas memandangkan bersekolah hari sabtu. Biasanya kelas saya hari sabtu dan Ahad. Oleh kerana ramai pelajar -pelajar Master ni masih kabur dengan penulisan Jurnal yang perlu di hantar pada 5/7/2009 ni maka pelajar meminta juga pensyarah mengadakan kelas pada hujung minggu ini. Saya sebenarnya telah siap jurnal tu dan dah emel pun pada pensyarah dengan harapan dapat komen untuk memperbaikinya. Saya pun tak pandai juga tapi saya berpandukan pada contoh-contoh penulisan jurnal orang lain juga di samping menggunakan tips yang diberikan oleh pensyarah. Kelas akan di adakan esok (Ahad) . Kelas ni macam tuisyen je.. nak pergi boleh, tak nak pergi pun boleh. Tapi biasalah bila berada dalam pilihan kita akan menjadi masaalah untuk memilihnya. Kalau tak pergi bimbang akan ketinggalan... kalau pergi rasanya macam tak berbaloi perjumpaan tu hanya dari jam 9.00- 12.00 tghari je. Perjalanan dah 3-4 jam. Kalau biasa alang-alang ada kelas 2 hari terus... Beginilah nasib pelajar yang jauh seperti saya ni.. Begitulah dilemanya kalau semalam baca dilema cikgu faris dalam blognya.. lebih kurang dilema saya la tu. Dilema pelajar tua hi.hi. (andragogi).

Thursday, June 25, 2009

PERUBAHAN (CHANGE)

Apabila sesebuah organisasi atau sekolah menerima seorang ketua atau gurubesar yang baru, selalunya gb, atau ketua atau pengetua itu akan membuat suatu perubahan. Kadang-kadang mereka ingin mencipta trademarknya sendiri. Perubahan bukanlah suatu yang asing, manusia memerlukan perubahan. Situasi,corak dan keadaan yang sama memang membosankan. Kalau di rumah dan di bilik tidur kita sendiripun paling lama 3 bulan pada susunan yang tak berubah selepas itu kita akan mengubahnya untuk suasana yang baru. Pokoknya perubahan itu adakah pada keadaan yang lebih menyenangkan atau lebih menyusahkan. Lebih menenangkan atau menyerabutkan. Apabila dalam organisasi apabila sesuatu perubahan dilakukan, adakah ianya boleh mendatangkan kebaikan atau menambah masaalah. Apa-apapun sekiranya ingin melakukan perubahan. Dalam perubahan terdapat dua jenis yang sering dikemukakan oleh pakar pengurusan.
Jenis yang pertama ialah AIR YANG TENANG (THE CALM WATERS METAPHOR) Manakala jenis yang kedua ialah AIR YANG BERKOCAK (THE WHITE-WATER RAPIDS METAPHOR)
Satu kaedah yang sesuai untuk melakukan proses peubahan ialah dengan menggunakan Model Kurt Lewin. Melalui model ini terdapt 3 tahap untuk membuat perubahan.
TAHAP PERTAMA : PENCAIRAN ( Berubah daripada cara lama)
TAHAP KEDUA : BERUBAH ( Menginstitusi perubahan)
TAHAP KETIGA : PEMBEKUAN ( Meneguh dan menyokong perubahan)
Langkah Pertama : Mengcairkan kedudukan sekarang
Langkah kedua : Menggantikan yang tabiat buruk kepada yang lebih baik
Langkah ketiga : mengukuhkan tabiat yang baru itu, biasanya dengan sistem ganjaran.
Sistem ganjaran membolehkan manusia nampak faedah/manfaat akibat perubahan itu. Mereka akan merasa seronok dengan perubahan itu
Sekiranya dalam keadaan air yang tenang mungkin tidak menjadi masaalah yang untuk melakukan perubahan. Sekiranya dalam air yang berkocak banyak cabaran untuk melakukan perubahan.
Berdasarkan model Lewit ini, dalam proses pencairan ini subordinat akan menyokong sekiranya ketuanya pernah membuktikannya sebelum ini, atau subordinate memang bersetuju dengan kaedah pencairan yang dilakukan oleh ketuanya. Disini trait. etika dan kepimpinan seorang pemimpin berperanan.
Proses kedua pada model kedua ini juga memerlukan kepakaran ketua/pemimpin untuk menginstitusi perubahan yang dilakukan. Sekiranya pada peringkat ini pincang dan kepercayaan orang bawahan tidak di perolehi perubahan ini akan menjadi lebih teruk. Langkah ketiga tidak mungkin dilaksanakan.
Ramai orang berjaya melakukan perubahan tapi ramai juga perubahan itu hanya sementara kerana tidak dikekalkan sedangkan kos yang banyak digunakan, tenaga,masa banyak dikorbankan. oleh itu kawalan yang berterusan diperlukan. Apabila ingin membuat perubahan biarlah ianya menjadi alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Jangan jadi seperti hangat-hangat tahi ayam. Wallahu waalam.


Tuesday, June 23, 2009

Arakian Alkisahnya

Menarik nafas lega.. mm assigment dah siap.Dah emel dah pun pada pensyarah, cuma harap tak banyak renovation yang perlu dibuat. Tapi tak lah seteruk masa menyiapkan projek sarjana semasa first degree dulu. Dulu 2 bulan berkurung bilik bacaan. Bahan rujukan berkotak-kotak. Kertas yang print tak jadi pun banyak rim juga. mm, suami dan anak turut tension bila maknya sibuk. Apa taknya asyik2 tengok mama mengadap laptop . Di pintu bilik tertulis " dilarang masuk bilik ini, mama sedang menyiapkan laporan kajian yang terakhir, lepas kerja mama siap kita pergi melancong ". Anak baca phase pertama merunggut tapi phase kedua mereka seronok. Masa tu kalau larat masak, masak kalau tidak makan diluar. Tapi saya agak bertuah, sebab suami saya ni rajin memasak dan pandai memasak. Kalau dia lapang dia masak dan kerap kali dia masak. Itulah sebenarnya pengorbanan mereka sebenarnya. Selepas tesis tu siap dan hantar kami pelajar tahun akhir UTM masa tu rasa lega sangat seolah-olah seperti lepas bersalinlah kata kawanku Terharu pun ada masa tu pensyarah2 kami beratur mengucapkan tahniah kerana berjaya di viva dan siapkan laporan tu. Tapi anak-anak dah biasa dengan situasi mamanya yang sebegini menyebabkan mereka lebih berdikari. Sebenarnya dari situasi ini dapat menginspirasi anak-anak. Setiap kali result periksa keluar saya akan panggil anak-anak sama surf internet tengok result periksa saya. Saya seronok bila anak2 orang yang pertama ucap tahniah. Sekurang2nya mereka tahu itulah hasilnya yang selama ini saya tinggal mereka pada hujung minggu.

Monday, June 22, 2009

SIMALA dan SIMALANG.

Hari ini seawal 7.30 pagi memulakan pemanduan yang agak sederhana dah Syahdu menuju ke SMK Muadzam Jaya. Hari ni perisian SIMALA versi 2 telah diinstall dan di aplikasikan dalam pengurusan data LADAP disekolah. Keseluruhan aplikasinya, setakat yang digunakan hari ni ok dan friendly user jugaklah. Tetapi masih boleh diperkemaskinikan lagi. Proses memasukkan data agak cepat, beberapa minit dah siap. selebihnya tolong member2 yang belum siap supaya dapat balik awal. Memang sampai pukul 1.00 dah siap dan kami boleh ke rumah bersama-sama. Apa yang menyayat hati, sampai je di rumah selepas mandi dan solat terus mengadap laptop kononnya untuk menyiapkan assigment. Entah macammana tangan gatal, terasa laptop dah berat lalu saya remove beberapa perisian yang dianggap x releven. Maka saya ingat saya remove simala versi satu dulu dari program file di C, rupa-rupanya yang saya buat tadi. Adusyy! nampaknya esok kenalah ke PPD balik minta dengan cikgu Man Bachok CD Simala untuk diinstall balik memandangkan lusa PPD nak kena hantar data 2008 yang perlu dimasukkan dalam simala. mmm nampaknya SIMALA dah jadi SIMALANG dah..

Wednesday, June 17, 2009

Semoga ianya satu Jihad.

Kehidupan orang seperti aku memang sering diburu kesibukan dan tekanan. Minggu ini agak kritikal bagi ku untuk menyiapkan 2 jurnal lagi yang entah dapat di publish atau tidak. Silap hari bulan prof aku hanyutkan kat pulau atau mana2 je. Entahlah semenjak akhir-akhir ini banyak perkara yang menganggu fikiran dan emosiku yang menyebabkan aku tak dapat menumpukan perhatian kepada kerja-kerja ku. Kadang-kadang aku membaca blog kawan-kawan yang aku selalu kunjungi. Yang positif boleh trust dan tak kurang juga blog kawan yang mengandungi cerita-cerita lucu. Dengan cara ini hati terhibur sedikit. Semalam aku mencampakkan semua yang menggangu fikiranku jauh-jauh dan memberi penumpuan yang penuh terhadap tugasan aku. Yeah... akhirnya berjaya menyiapkan sebahagian daripadanya. Insyaallah hujung minggu ini dapatlah aku menyiapkan dengan sebaiknya. Dalam melakukan pelbagai kerja memang banyak cabaran tetapi kita akan mendapat satu kepuasan bila kita dapat melaksanakan dengan sebaiknya segala tugasan itu. Tak ramai orang yang mampu melakukan semua ini tapi aku percaya pada diri selagi ada kemahuan d isitu ada jalan. Kadang-kadang untuk mengecapi kemanisan akan merasai kepahitan dulu... Apa yang aku lakukan ini adalah sat jihad bukan untuk diriku seorang tapi ummah semua. Aku tak mampu berperang untuk agama dan bangsaku tapi aku mampu belajar untuk memartabatkan bangsa dan agama ku, insyaallah.

sudah suratan


Ini mungkin post kali kedua saya menulis diblog saya tentang mantan GB saya kalau tak silap dalam post tahun lepas yang bertajuk itu yang tersurat. Kenapa saya menulis tentang nye.. hebatke dia? ya bagi saya dia hebat walaupun tidak graduated mana-mana university tapi dia punya crystal knowlwdge yang saya kagumi dan hormati..saya menulis sempena hari bapa dan hari guru.
Dulu masa saya belajar selain dorongan, banyak dia membantu saya dari teknik penulisan..Satu hari saya siapkan thesis saya dan saya minta pandangan dia. Dia sanggup ambil thesis saya dan disemak. Apa yang saya kagum dia dapat kesan setiap ejaan yang salah .Bagai scaner sangat cermat sekali..Saya mula mendidik diri saya supaya bekerja sepertinya. Saya tahu kalau dia baca penulisan saya ni dia mesti komen, salah eja, jarak jauh dekat dan sebagainya.
Semasa dibawah kepimpinanya saya pernah jadi GPK, banyak dia mengajar saya tentang kesempurnaan dalam menyiap surat, kertas kerja dan saya tak pernah jemu dan putus asa untuk belajar. Sering memberi dorongan.. satu ketika dahulu sebelum saya berpindah dari SKR ke SKJ saya dah kenalnya secara luaran sebab dia merupakan pegawai PPD ketika itu. Lantas pernah kawan2 mengusik kenapa nak pindah ke SKJ gurubesarnya garang! saya kata, saya ni budak nakal kena di pimpin oleh orang yang garang. Alah masa di bawah pimpinannya memang saya selalu kena marah tapi saya boleh terima cara dia marah..kenapa? Rumusanya seorang pemimpin itu dia boleh marah orang bawahannya sekiranya dia ada satu kekuatan di dalam dirinya iaitu dia dihormati. Bila dia seorang yang dihormati dia marah macammana pun orang bawahan akan patuh. Tapi untuk menjadikan diri sebagai seorang yang dihormati itulah perlunya keikhlasan dari diri sendiri. Sebagaimana dalam post yang lepas saya bersetuju seorang pemimpin itu autokratik sekiranya dia memiliki kemahiran dan pengetahuan melebihi orang bawahannya. Lagi satu seorang itu adalah pemimpin yang sejati sekiranya selepas dia bukan jadi pemimpin ianya tetap di hormati. Itulah satu pengukuran kepada kepimpinan kita. Wallahuwaalam...

Tuesday, June 16, 2009

Kepengikutan dan Kepimpinan

Dua subjek yang sering berkaitan. Di Universiti dan Institut latihan guru tidak ada menawarkan kos kepengikutan yang ada kepimpinan. Kenapa ? kepengikutan ini tak pentingkah? Dalam post saya kali ini biarlah saya berkongsi tentang kepengikutan…
Konsep kepimpinan dan kepengikutan ini kedua-duanya telah wujud bermula tahun 2500 yang lalu dan adalah saling melengkapi antara satu sama lain. Walaubagaimanapun, pada tahun 1988 Robert E.Kelly telah menghasilkan satu dapatan yang penting berkaitan dengan kewujudan dan kepentingan para pengikut. Sebenarnya peranan pengikut ini adalah lebih berkali ganda penting berbanding dengan peranan pemimpin.

Kelly (1992) telah mendefinisikan pengikut sebagai satu kumpulan manusia yang faham apa yang perlu di buat (tanpa diberitahu) yang dapat bertindak dengan bijaksana dan bebas,berani dan mempunyai etika yang kuat dan yang melaksanakan sesuatu tindakan menggunakan skil yang terbaik untuk mencapai tujuan organisasi. Sementara itu Chaleff 1995) Melihat pengikut sebagai mereka yang berkongsi tujuan yang sama dengan pemimpin.

Kelly (1992 mengkategorikan pengikut itu kepada 5 kumpulan iaitu
1. alienated- seorang yang berfikiran bebas dan kritikal tetapi kurang dalam perhubungan (Engagement) akibat daripada perasaan tidak puashati mereka akan jadi ”switch off”tetapi jarang menunjukkan penentangan secara terangan kepada pemimpin.
2. Conformist – ciri ini sama sekali berlawanan dengan ciri alienated mereka ini kadang-kadang dipanggil "pak sanggup "atau "pak turut" dan "lurus bendul".Namun begitu golongan ini lebih ceria. Mereka ni bergantung sepenuhnya kepada pemimpin sepenuhnya yang boleh memberi inspirasi kepadanya.
3. Pragmatist- Kumpulan ini adalah berlegar-legar dipertengahan jalan (the middle of the road) terlalu kerap atau kurang mempersoalkan pemimpinnya.Mereka juga di kenali "survivor" yang berpegang kepada slogan lebih baik selamat daripada menanggung penyesalan “better safe than sorry”.Mereka juga di katakan kumpulan duduk atas pagar dan mampu berubah seolah-olah seperti seekor "Chameleon"
4. Passive – mereka yang tidak berfikir untuk dirinya dan untuk organisasinya. Brown dan Thornborrow (1996) menggambarkan golongan ini seperti kambing biri-biri. Pasif, tidak kritikal,kurang inisiatif dan kurang bertanggungjawab. Mereka ini boleh menjalankan tanggungjawan dengan baik hingga ke satu tahap, kemudiannya akan terbantut.
5. Exemplary.- kumpulan ini bertentangan langsung dengan pasif. Kumpulan ini seorang pemikir kritikal yang tetap dan sememangnya terlibat secara aktif dalam organisasinya. Golongan ini berkebolehan untuk berfikir bagi diri mereka dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh tenaga dan assertif yang tinggi. Mereka selalu risk taker dan self starter yang boleh menyelesai masalah bersendirian.
Sekiranya anda seorang pengikut mungkin ada berada di bawah mana-mana satu kelompok di atas. Sekiranya anda seorang pemimpin sudah tentu ada gemar pada salah satu kelompok di atas.. tapi kambing biri-biri pun mahal di pasaran...sekian

Friday, June 12, 2009

Pendidikan Anak-anak.

Beberapa hari yang lepas ada saya terbaca satu artikel di suratkabar tentang pendidikan anak-anak dimana seorang ibu mamahafieza yang cuba mengubah sistem pendidikan bagi anak-anaknya. Beliau tidak menghantar anak-anaknya ke sekolah bahkan mendidik dan mengajar anak-anaknya sendiri di rumah. Pengajaran bagi anaknya bermula dari waktu subuh hinggalah lewat malam lebihkurang pukul sepuluh malam. Saya agak tertarik dengan cara pendidikannya ini. Pada awalnya suaminya agak tidak bersetuju dengan tindakannya tetapi setelah melihat hasilnya suaminya turut sama dalam menjayakan apa yang diusahakan oleh mamahafieza ini. Dalam pendidikannya ini sudah tentu tidak mementingkan peperiksaan dan hanya akan membenarkan anaknya menduduki peperiksaan setelah berusia 17 tahun.Pendidikannya memenuhi keperluan JERIS ini berdasarkan apa yang di ceritakan. Mamahafieza ini seorang graduate dalam bidang komputer dan beliau hanya bekerja dirumah sebagai web designer dan memang seorang yang hebat menerima pelbagai AWARD. Saya teringat pada kawan saya Aliza yunus yang berelulusan PHD tetapi lebih rela menjadi surirumah dan begitu mengambil berat tentang pendidikan anak-anak. Pemerhatian beliau tentang pendidikan anak-anak yang beliau berhijrah di Oman tu amat berbeza dengan pendidikan di malaysia yang begitu mementingkan peperiksaan sedang di Oman penilaian lebih kepada pembentukan akhlak. Pelbagai situasi yang saya ikuti dari cerita kawan saya tentang pendidikan di Oman ni memberi gambaran bahawa pembelajaran kanak-kanak di sana lebih santai dan bersesuaian dengan kematangan anak-anak.
Begitu juga dengan cerita DR Alya yang sedang membuat penyelidikan di UK yang situasinya hampir sama dimana sistem pendidikan anak-anak disana tidak menitik beratkan pada peperiksaan dan pelajarnya belajar dalam keadaan yang menyeronokkan tanpa sebarang tekanan. Mengikutnya lagi sekiranya pembelajaran lebih menumpukan kepada peperiksaan susah untuk memperolehi keseimbangan..Berbalik kepada situasi di Malaysia pembelajaran lebih berfokus kepada peperiksaan dan pihak pentadbiran bertungkus lumus mengadakan pelbagai program untuk kecemerlangan result periksa sekolah masing-masing. Kelas tambahan ada yang mula seawal tahun 4 lagi. (10 tahun). Bila sekolah menitik berat peperiksaan ibubapa pun sama di rumah ibu bapa hantar kelas tambahan berbayar lagi.. Bayangkan bila masa untuk mendidik anak-anak tentang kasih sayang, disiplin, jaga alam sekitar apa yang terpasak di fikiran anak-anak adalah peperiksaan. Cuti sebegini pelajar tahun 6 terutama sedang bertungkus lumus dengan kelas tambahan untuk menghadapi peperiksaan pada bulan september nanti. Sangat berbeza dengan negara maju yang sudah mula mengubah sistem mengikut keadaan semasa. Ok wallahuwaalam sekadar mencoret je..

Thursday, June 11, 2009

cuti sudah dipenghujungnya.

2 minggu dirasakan begitu cepat berlalu. Sessi persekolahan akan bermula pada minggu hadapan. Seorang guru seharusnya semangat untuk meneruskan pejuangan. Kadang-kadang seorang manusia memerlukan satu dorongan untuk melakukan sesuatu. Semalam dalam menyiapkan mini kajian saya tentang iklim sekolah sempat saya mengedar soal selidik kepada beberapa guru sekolah yang dipilih sebagai sampel untuk kajian rintis saya...dapatan yang saya perolehi amat lemah dengan min 1.53 bagi item dorongan untuk kesekolah. Pada saya dapatan itu hanya berlaku di sekolah X yang mana dapatan itu tak mungkin sama dengan sekolah y dan Z. Namun saya akan terus mengedar soal selidik untuk kajian sebenar setelah mendapat kebenaran dari KPM. Tujuan saya mengedar itu adalah untuk menyiapkan kajian saya dan sebelum ini beberapa pemerhatian dan temu bual saya dengan beberapa individu adalah dalam proses merangka permasaalah . Saya membuat master dalam pengurusan dan pentadbiran sekolah sudah tentu pihak yang terlibat adalah guru besar2 dan pengetua. Satu kajian biasanya dikaitkan dengan teori-teori yang telah wujud. Saya lebih suka berurusan dengan guru besar & pengetua lelaki . Biasanya mereka lebih berfikiran positif dan lebih senang berurusan. sebenarnya selagi seorang itu tidak dapat menerima perubahan dan hidup dalam keasyikan dirinya sendiri bukan sahaja merugikan dirinya sendiri bahkan menyusahkan orang lain. ha.ha. itu je...

Saturday, June 6, 2009

KEGEMBIRAAN ITU SATU RAHMAT DAN REZKI


Seminggu sudah kami sekeluarga bercuti bermula dari KL ke Kuala Perlis rasanya sudah cukup untuk merenggangkan segala ketegangan dan yang paling penting masa bersama anak-anak dan memberi kegembiraan buat mereka.
Berbicara tentang kegembiraan sebenarnya emosi kita samaada kita gembira atau sedih kita sendiri yang menentukannya. Sekiranya kita pilih untuk bergembira,maka hari kita akan terus terasa ceria walaupun kita di bebani pelbagai tugas dan tuntutan kerja. Keadaan ini membuatkan riak wajah kita nampak ceria dan kelihatan tenang.
Ada orang menyifatkan kegembiraan itu umpama rama-rama.cantik dan mampu membuat orang lain rasa tenang apabila melihatnya.Ada kajian yang menunjukan kebolehan gembira ini banyak disumbangkan oleh faktor genetik dan ada juga penyelidik yang percaya ianya boleh dipupuk. Ada kajian menunjukkan individu yang gembira hidupnya sembilan tahun lebih lama berbanding dengan orang yang kerap bermurung dan tertekan.
Bermacam-macam tentang gembira. Pada saya kegembiraan itu satu rahmat yang tidak ternilai. Bayangkan satu hari kita ditimpa masaalah dan kesedihan bagaimana rasanya? Seperti berada di atas bara api...Dengan itu saya menilai kegembiraan itu sesuatu yang amat berharga. Saya sangat berterimakasih kepada sesiapa yang membuat saya gembira dan seboleh mungkin saya akan cuba membuat orang lain gembira.
Terdapat segelintir manusia yang cemburu melihat orang lain gembira dan cuba membina satu situasi supaya orang lain berada dalam kesugulan pada saya orang seperti ini menghadapi masaalah jiwa yang di kaitkan dengan genetik atau persekitaran yang dicipta sendiri. Manusia spesis ini memang wujud dan banyak menyusahkan orang lain lebih-lebih lagi sekiranya dia adalah seorang ketua.
Untuk mendapat hidup yang bahagia dan gembira kita kena berusaha untuk mencarinya kerana ianya tidak datang bergolek didepan mata. Antara strategi yang boleh dilakukan untuk gembira ialah :
1.Pilih untuk gembira- pandai mengurus diri,berinteraksi dengan baik ,pilih
persekitaran
dan berkawan dengan orang yang positif. Tenangkan diri sendiri. Untuk tenang jadi
seorang yang pemaaf, bersyukur dan berterimakasih.
2.Tambah sahabat.- Antara penawar kesedihan ialah mempunyai sahabat baik yang
sentiasa mengambil berat mengenai kita. Satu kajia di Australia mendapati warga
emas berusia 70 tahun ke atas dan mempunyai ramai sahabat hidupnya lebih lama
dan gembira.
3.Sentiasa berbuat baik. Berbuat baik walaupun satu pertolongan yang kecil dan
membuat penerima gembira.
4.Jadi seorang yang pemurah dengan senyuman. Senyuman biasanya boleh membuat orang
lain merasa gembira dan senang hati.

Monday, June 1, 2009

Apakah Nasib Subjek Pendidikan Islam sekiranya...

Saya terpanggil untuk menulis tentang menghadkan pengambilan subjek dalam peperiksaan SPM. Terfikir juga kenapa harus menghadkan sepatutnya kebebasan diri selagi pelajar mampu. Sememangnya terdapat pelajar yang mempunyai tahap kemampuan yang tinggi dan seharusnya kita sokong. Pada saya banyak perkara lain yang perlu menteri pelajaran perlu buat perubahan. Apalah gunanya konsep pengayaan yang kita apply dalam pedagogi yang mana pelajar yang pandai diberi pengayaan.
Dalam isu ini seharusnya pelajar yang pandai diberi kebenaran mengambil pelajaran yang lebih. Sekiranya dihadkan dibimbangi pelajar yang bijak ini boring dan akan bertambah isu negatif lain pulak. Pelajar yang bijak ini sekiranya dibenarkan mengambil subjek yang lebih mereka akan leka dengan belajar maka kuranglah kreativiti mereka untu terjebak dalam aktiviti kurang sihat ini.
Apa yang saya bimbang lagi sekiranya kementerian menjadikan subjek pendidikan Islam sebagai elektif dan bukan subjek teras yang perlu di ambil sebagaimana yang tercatat didalam surat khabar hari ini. Cuba fikir apa kesannya.? Pada saya selepas ini ramai pelajar Islam yang tidak mengambil subjek ini.Apa akan jadi kepada rakyat malaysia selepas ini. Bagi pelajar bukan Islam pula tidak mengambil subjek moral. Apabila mereka tidak mengambil subjek pendidikan Islam sudah tentu mereka tidak belajar dan menghayati. Pembelajaran setakat tingkatan 3 bagi subjek ini tidak mampu memberi penghayatan yang mendalam dalam soal agama lebih-lebih lagi dalam banyak persoalan hidup yang memerlukan panduan Al-Quran dan Sunnah.
Bukankah selama ini sistem pembelajaran dinegara kita sudah elok. Selama ini sekiranya pelajar sekolah Men Ugama (Arab) contohnya(sebab saya berpendidikan aliran ini) saya belajar dari tingkatan 1-5 sebanyak 17 matapelajaran seimbang subjek B.Arab dan Akademik dan pada saya dan kawan-kawan tidak menjadi masaalah. Alah bisa tegal biasa. Kami banyak menghbiskan masa dengan belajar kerana setiap tahun ada peperiksaan penting bermula tingkatan 3- PMR, Tingkatan 4- SMU(4 thanawi) Tingkatan 5- SPM. Bahkan peringkat SPM ramai yang ambil sains tulen dan B.Inggeris dengan pelbagai kod sehingga menjangkau subjek menjadi seperti nik Numadihah ambik iaitu 20 subjek.Ramai pelajar-pelajar dari sekolah saya Maahad Muhammadi berjaya menjadi Doktor,Peguam bahkan engineer. Pada saya tidak ada yang negatif pun bahkan membanggakan dan terbukti ada yang mampu. Wallahuwaalam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...